Friday, October 8, 2010
Flan Cendawan Dan Sosej
Salam, menyediakan menu minum petang kerapnya kurang diberi perhatian. Selalunya ramai yang membeli sahaja kuih - muih yang banyak dijual di gerai. Bagaimanapun, kadang - kadang kita berasa jemu dengan makanan yang sama, kreativiti juga diperlukan agar hidangan yang disediakan nampak menyelerakan.
Bahan untuk pastri :
150 gm tepung gandum
75 gm mentega
Air ais secukupnya
Secubit garam
Bahan untuk inti :
3 biji telur
1 labu bawang besar - dimayang
100 gm cendawan butang - dihiris nipis
100 gm sosej - dihiris nipis
50 gm keju cheddar - diparut
25 gm mentega
200 ml susu
Garam dan serbuk lada sulah secukupnya
Cara menyediakannya:
Untuk membuat pastri, gaulkan tepung gandum, garam dan mentega dengan dengan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti. Masukkan air ais dan uli hingga menjadi doh yang lembut sebelum didinginkan dalam peti sejuk selama 15 minit.
Canai doh setebal 5 mm dan letakkan ke dalam acuan flan. Tekan rata - rata sehingga ke bahagian tepi acuan dan potong lebihan doh di sekelilingnya. Bakar selama 15 minit sehingga setengah masak. Ketepikan untuk seketika.
Untuk membuat inti : panaskan mentega di dalam kuali dan masukkan bawang besar, cendawan dan sosej. Kacau sehingga bawang layu sedikit kemudian tuang kan ke dalam acuan flan yang beralas tadi. Tabur keju cheddar sehingga rata.
Telur dipukul bersama - sama susu, garam dan serbuk lada sulah kemudian di tuang ke dalam acuan flan tadi sebelum dibakar lagi dalam ketuhar pada suhu 180 C selama 30 minit ataupun sehingga masak. Hidangkan panas - panas.
No comments:
Post a Comment