Wednesday, October 30, 2013

Super Soft Banana cake


Salam dan selamat pagi buat semuaa..
Pisang kaya akan kalium, salah satu mineral penting yang berfungsi menjaga dan mempertahankan aktivitas sel dalam tubuh kita. Pisang merupakan buah yang cukup dikenali, kerana itu banyak sekali resepi yang menggunakan pisang sebagai bahan utama.

Pagi - pagi gini tergerak hati ingin membuat kek pisang! Anak - anak cukup suka kalau saya buat kek pisang apalagi kalau kek pisang ni jenis yang lembut dan moist kejap saja boleh habis.
Kek pisang ni tak kira lah bakar atau kukus teksturnya lebih kurang sama lembut dan lembab, inilah di antara resepi kek pisang kegemaran saya. Cake pisang dapat bertahan selama dua sampai tiga hari jika disimpan dalam wadah kedap udara.


Super Soft Banana Cake
250 g tepung gandum*
1/2 tsp baking podwer*
1 camca teh soda bicarbonate*
1/2 camca teh garam halus*(*digaul rata dan diayak)
1 tsp ovallate
150 gram gula halus
5 biji telur gred A
225 gram butter - cairkan
225 g pisang emas
1/2 tsp esen pisang / vanila

Bahan Toping :
30 gram coklat chip
30 gram kacang almond

Cara membuat :
Panaskan oven pada suhu 175C. Lenser acuan dengan mentega, tabur tepung rata dan ketuk keluar lebihan tepung. Ketepikan. Putar gula dengan ovallate hingga sebati, masukkan telur (kesemuanya) dan putar dengan kelajuan tinggi hingga adunan naik dan pekat (seperti adunan baulu). Perlahankan speed dan masukkan pisang lecek dan esen esen pisang. Gaul rata.

Masukkan tepung berselang seli dengan metega cair tadi. Buat hingga siap dan gaul rata. Tuang dalam acuan yang telah disediakan, dan tabur dengan bahan toping. Bakar 50 minit atau hingga masak mengikut oven masing - masing. Uji kek dengan mencucuk lidi sate di bahagian tengah kek, jika keluar bersih  tanda kek dah masak. Biar kan kek sejuk sedikit, longgar2kan dari acuan dan terbalikkan. Sejukkan sepenuhnya atas jaringan sebelum dihidangkan.

Wednesday, October 23, 2013

Tempahan Cupcake


Salam semua. Jom layan dan cuci mata dengan tempahan cupcake yang comei ini sesuai sangat untuk majlis harijadi kanak - kanak! Ingin menempah hubungi saya di talian 017 -  4938775..

Monday, October 21, 2013

Putri Ayu Gula Merah


Salam. Hujung minggulah masa yang paling seronok membuat kuih! Anak - anak semakin membesar kalau nak buat kudapan untuk minum petang pun kena tanya depa dulu! Aduii. Kuih ni saya buat pada hari Ahad yang lepas menjamu tetamu yang akan bertandang ke rumah. Kerana ingin kan kelainan kuih putri ayu ni saya mix kan dengan campuran  gula merah dan sedikit gula putih! Cukup cantik kejadiannya, pada sesiapa yang ingin mencuba saya gerenti menjadi dan cukup sedap!

Putri Ayu Gula Merah
2 biji telur
50 gram gula merah
50 gram gula pasir
1 tsp ovelete
1/2 tsp garam
1/4 tsp vanila
130 gram tepung gandum - ayak
1/2 tsp baking powder - ayak
100 ml santan kotak
Kelapa parut secukupnya
1/2 tsp garam
1 sudu teh tepung gandum

Cara membuat :
Gaulkan kelapa parut yang sudah di beri garam, tepung dan kacau sekata. Masukkan kedalam acuan putri ayu dan tekan - tekan sedikit sehingga mampat dan ketepikan. Panaskan kukusan. Pukul telur, gula merah, gula pasir, garam, vanila dan ovelete sampai kembang dan putih. Masukkan tepung + baking powder yang sudah di ayak  berselang - seli dengan santan kotak kacau hingga rata.Tuangkan ke dalam acuan yang telah di sapu nipis dengan minyak masak. Kukus kurang lebih 10 menit. Siap dan boleh di hidang. Note : Tekan / picit acuan agar kuih putri ayu senang di keluarkan!


Enjoy and happy Monday!

Saturday, October 19, 2013

Mee Kari Ala Nyonya


Salam petang buat semua, seperti kebiasannya kalau hari cuti inilah masa untuk mencuba resepi atau menu yang berlainan. Harini saya buat mee kari ala nyonya untuk hidangan di rumah! Mee Kari adalah antara makanan yang selalu dihidangkan di sebabkan rasa pedasnya yang dapat membuka selera. Resepi Mee kari dihiaskan dengan telur rebus, tauhu goreng, sawi celur, taugeh, cili merah, lemon atau limau kasturi, timun, daun sup, bawang goreng dan sebagainya. Hmm, tergoda tak?

Mee Kari Ala Nyonya
2 keping besar dada ayam -  dipotong kecil, cuci dan toskan
1 bungkus tauhu pok
Sedikit daun kesum
2 sudu besar air asam jawa
1 cawan pati santan
2 biji kentang, rebus hingga empuk dan lecek halus
3  camca besar penuh rempah kari daging Baba's
1 kiub pati ayam
1 kuntum bunga kantan - belah 2
Air secukupnya
2 tangkai daun kari
Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar Halus :
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 biji buah keras
3 biji cili merah
1 sudu besar udang kering
1/2 inci kunyit hidup

Bahan Sampingan :
Mi kuning, dicelur dan toskan
Taugeh, dibuang ekor
Hirisan daun bawang / daun sup
Bawang goreng
Hirisan cili merah
Telur rebus, dibelah 2
Belahan limau kasturi
Sawi bok choy, cuci dan celur, toskan

Cara Membuat :
Untuk kuah :  Satukan bahan kisar halus dan rempah kari, kacau rata. Panaskan minyak dalam periuk, tumis daun kari hingga harum, masukkan bahan kisar halus + rempah kari tadi. Masak dengan api sederhana sambil dikacau selalu hingga pecah minyak. Masukkan ayam dan gaul hingga rata, masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya, kacau dan biar mendidih. Masukkan bunga kantan dan juga daun kesum tadi. Kemudiann masukkan kiub ayam (jika guna), air asam jawa, kentang lecek dan pati santan. Kacau rata, bila mendidih masukkan tauhu pok. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak hingga ayam lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api.

Cara menghidang mee kari nyonya : Masukkan mi secukupnya dalam mangkuk yang sesuai, tuang kuah bersama isi2nya. Hias dengan sawi, taugeh, telur rebus, hirisan cili merah, hirisan daun sup / daun bawang, bawang goreng dan juga limau kasturi. Hidangkan panas.....meletopp!

Wednesday, October 16, 2013

Ikan Bawal Ala Thai


Salam buat semua pengujung blog. Masak ringkas - ringkas saja hari ini. Badan rasa letih dan tentunya penat dengan tugas harian yang tidak ada habisnya!! Walaupun resepi ikan ni sangatlah mudah tetapi sangat sedap bila di nikmati bersama ahli keluarga untuk sajian makan tengah hari. Bahan - bahannya boleh di sesuaikan dengan stok bahan atau barang dapur yang ada di rumah ya! Selamat memasak!

Ikan Bawal Ala Thai
1 ekor ikan bawal saiz besar
3 ulas bawang putih | ketuk
2 tangkai cili padi | ketuk
2 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili thai
4 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan
2 helai daun limau purut
1 hiris air asam limau nipis
Gula dan perasa

Bahan untuk hiasan :
1/2 biji bawang besar | dipotong dadu
1 inci halia | dimayang halus
Cili merah | dipotong
Hirisan daun ketumbar
Buah nenas atau buah tomato - potong dadu

Cara Membuat :
Ikan diperap dengan sedikit garam dan sedikit serbuk kunyit. Goreng dengan minyak yang banyak.
Tumisan bawang putih, daun limau dan cili padi, seterusnya masukkan cili kisar dan kesemua jenis sos.
Masukkan sedikit air, jika suka masukkan sedikit bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah. Masukkan gula dan perasa.Tutup api dan masukkan bahan untuk hiasan. Kemudian curahkan sos tadi ke atas ikan dan perahkan limau nipis ke atasnya. Sedia untuk dinikmati.

Kuih Ketayap Marble


Selamat Hari Raya Aidil Adha 1434 H, Taqaballahu Minna Wa Minkum..
Pagi tadi sempat buat sarapan kuih ketayap atau kuih dadar untuk anak - anak sebelum pergi masjid untuk solat sunat hari raya. Ada yang saya buh corak sikit dengan warna merah dan separuh adunan lagi saya biar warna hijau ( warna asal ). Suka yang mana? Bercorak atau pun yang plain saja? Kalau rajin bolehlah buh corak sikit biar nampak kelainan kann!! Rajin tak?
Kuih Ketayap Marble
Bahan Kulit :
2 cawan tepung gandum
2 biji telur
2 helai daun pandan
1 3/4 cawan santan cair / susu cair
1 1/2 sudu kecil garam
2 sudu besar minyak masak
Beberapa titik pewarna hijau dan sedikit pewarna merah

Bahan Inti :
1/2 biji kelapa parut
3/4 cawan gula merah (boleh dikurangkan)
1 sudu teh tepung jagung
1 helai daun pandan

Cara Membuat :
Inti : Masak kelapa parut dan gula merah serta sehelai daun pandan. Masak hingga pekat dan taburkan sedikit tepung untuk kentalkan intinya. Kacau sehingga sebati sehingga inti kelapa tadi bercampur dengan gula merah selama 10-15 minit. Inti akan menjadi warna keperangan. Angkat. Buang daun pandan tadi.

Untuk kulit : Kelapa parut tadi di blend dengan daun pandan dan perah, ambil patinya. Jika guna santan segera, just blend dengan daun pandan dan tapis. Ambil tepung masukkan ke dalam mangkuk letakkan secubit garam dan campurkan pati santan yang telah di blend dengan daun pandan tadi. Kacau sehingga sebati . Kemudian masukkan telur serta minyak dan kacau lagi. Bahagikan adunan dan beri pewarna. merah dan hijau. Atau asingkan sedikit adunan untuk adunan berwarna merah, masukkan ke dalam piping beg dan gunting

Panaskan pan, letakkan sedikit minyak. Buat garis halus ( bentuk zigzag) adunan warna merah menggunakan piping bag, paipkan dengan kemas di dalam pan dan sendukkan 1 senduk adunan warna hijau dan layangkan pan agar adunan tadi bulat. Masak sehingga 2-3 minit, angkat jangan terlalu lama. Setelah angkat terus masukkan inti dan gulung. Cara gulung  lipat kedua dua tepi sedikit dan gulung melentang seperti menggulung popia. Ulangi sehingga adunan tadi habis.


Saturday, October 12, 2013

Ayam Penyet Istimewa


Hari ni kita akan membuat sajian yang cukup sedap, ayam penyet atau ayam yang di lenyekkan! Mungkin ramai rakan - rakan di luar sana yang dah mencuba keunikan masakan dari Jawa ini, ada berbagai dan banyak versi cara dan penyajiannya, boleh di goreng atau pun di bakar sama saja sedapnya! Untuk menambahkan kelezatan hidangan ayam penyet ini sajikan dengan nasi panas, tempe, tahu goreng bersama  dengan sambal ulek!! Hmm, memang meletop! Jom semak apa bahan - bahannyee!!

Ayam Penyet Istimewa
3 keping daging ayam bahagian peha
3 cawan santan cair
2 helai daun salam - boleh abaikan kalau tak dak!

Bahan kisar :
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
2 biji buah keras
1 sudu teh ketumbar biji
2 batang serai
2 cm lengkuas
2 cm halia
2 cm kunyit hidup / serbuk kunyit

Cara Membuat :
Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam periuk. Didihkan dengan api sederhana sehingga ayam separuh masak. Toskan daging ayam. Goreng daging ayam sehingga masak. Kemudian tekan atau penyetkan .



Resepi Sambal Ulek
6 - 7 biji  cili padi
5 tangka cili merah
3 cm belacan
5 ulas bawang merah - hiris kasar
2 biji tomato - belah empat
2 ulas bawang putih - hiris kasar
2 sudu besar air asam jawa
garam dan gula melaka secukupnya
1 sudu besar minyak untuk menggoreng

Cara Membuat :
Goreng kesemua bahan di atas kecuali garam, air asam dan gula.Tumbuk semua bahan atau ulek gunakan lesung batu sehingga separa lumat. Masukkan gula melaka, tumbuk sehingga hancur. masukkan air perahan asam jawa dan sedikit  garam. Gaul sebati.


Note : hidangkan ayam penyet bersama nasi panas, ulam - ulaman, sambal ulek dan bahan sampingan seperti tempe dan tahu goreng! Yummy..

Tuesday, October 8, 2013

Popia Basah Yang Sangat Sedap..


Suka sangat dengan popia basah ni! Hari tu makan di sebuah gerai di Tanjung, jadi teringin dan cuba belajar membuat sendiri di rumah. Mula - mula saya memang tak reti sangat nak membuat kulit popia basah ni, tak biasa kan! Tetapi apabila saya cuba dan dua tiga kali practise inilah kejadiannya! Lumayan cantik ( puji diri sendiri ) hehe!Jadi untuk sesiapa yang belum mencuba resepi popia basah dari Kak Umie ini, apa tunggu lagi!! Memang sedap sangat bagaikan sajian dari gerai makan! Jadi tak payah dah pergi pasar malam lagi, buat sendiri lebih jimat dan tentu lebih sihat untuk sajian keluarga tersayang.

Popia Basah
Bahan Kulit :
2 cawan tepung gandum
1 biji putih telor
3/4 cawan air
2 sudu makan cuka
secubit garam

Cara Membuat :
Step untuk buat kulit popia boleh rujuk di My Resepi. Campurkan kesemua bahan dalam mangkuk adunan. Gaulkan (macam buat cokodok) kemudian tutup dan biarkan sebentar sekurang - kurangnya 1/2jam. Ambil sejemput dan lenserkan ke atas kuali leper Buat dari arah jam.Mulakan dari tepi dulu kemudian sapukan bahagian tengah dengan sisa tepung yang masih ada di tangan. Setelah rata, biarkan sampai tepung masak sebentar. Angkat tepung yang telah masak dan letakkan dalam pinggan. Boleh disusun berlapis - lapis ia tak melekat.


Bahan Untuk Inti Popia
1/2 biji kobis - di racik halus
3 biji sederhana besar carrot - di sagat halus
1 biji sederhana bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu besar sos tiram
1 sudu makan udang kering
garam secukupnya
minyak untuk menumis

Cara Membuat :
Kisar bawang besar, bawang putih dan udang kering. Panaskan sedikit minyak dan masukkan bahan yg dikisar tadi.Kemudian tambahkan sos tiram dan secubit garam.Kemudian masukkan sayuran dan masak hingga sedikit layu.


Bahan Untuk Sambal
15 tangkai cili kering
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
1 sudu besar gula perang
2 sudu besar kicap manis
minyak untuk menumis
garam, perasa dan bawang goreng secukupnya
Kacang kisar - jika suka

Cara Membuat :
Kisar cili kering, bawang besar dan bawang putih. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan blend hingga garing. Masukkan kicap dan gula perang, garam dan perasa. Ambil sekeping kulit popia dan sapukan dengan sedikit sambal.Letak satu sudu besar inti dan taburan bawang goreng lipat macam biasa dan gulung sedia untuk dimakan.

Sebenarnya cara penyediaan popia bergantung pada citarasa. Jika nak letak sambal dulu pun boleh dan nak curah atas popia kemudian pon boleh ikut selera masing - masing.

Monday, October 7, 2013

Weekend Projeck Membuat Pavlova!


Semalam teringin merasa pavlova, Rasa "Paplova" nie manis dan luar crispy crunchy dan dekat dalam lembut macam marshmallow. Gandingkan dengan whipping cream dan juga buah - buahan kegemaran yang jenis masam!! Memang sedap rasa manis dan masam sekata.

Pavlova
4 biji putih telur (putih telur sahaja)
3/4 cawan gula castor
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu teh cuka makan
1 sudu teh esen vanila

Untuk Toping :
1/2 cawan whipping cream
Strawberry -  di potong kecil
Kiwi  - di potong kecil
Orange - di potong kecil

Cara  Membuat :
Pukul 4 biji putih telur guna mixer sehingga adunan menjadi pekat dan kaku. Masukkan gula sedikit demi sedikit. Pukul sehingga  gula habis. Pukul meringue sehingga putih berkilat. Dan kalau cuba terbalikkan adunan tak jatuh. Masukkan tepung jagung dan esen vanila dalam adunan. Dan kacau menggunakan spatula secara kaup balik sehingga semuanya sebati. Ambil loyang dan letakan baking paper.

Buat bulatan atas baking paper, lepas tue terbalikkan kertas. Letakkan "meringue" atas baking paper dalam bulatan tadi dan bentukkan mengikut citarasa. Panaskan oven dengan suhu 150 C dalam 15 minit. Kemudian turunkan suhu kepada 100 C. Bakar selama 1 jam 15 minit (bergantung kepada oven masing - masing ). Pukul whipping cream sehinggan pekat. Ambil spatula dan sapukan atas meringue tadi,dan taburkan buah - buahan yang di sukai.

AMARAN: Jangan keluarkan pavlova terus dari oven selepas masak. Biarkan pavlova tue sejuk dalam oven. Buka sikit pintu oven untuk bagi pavlova sejuk kat dalam oven dan baru kuarkan!

Friday, October 4, 2013

Homemade Popcorn Chicken


Fresh dari dapur saya, menu sarapan yang cukup sihat untuk anak - anak! Sesuai di jadikan lauk atau juga cemilan. Bahagian dada ayam sangat baik untuk kesihatan dan perkembangan minda. Saiznya yang cukup comei seperti popcorn menjadikan lauk ini cukup di gemari dan di minati anak - anak!!
Membuatnye cukup simple dan sangat mudah, boleh juga menggunakan tepung rempah dalam peket yang siap di gunakan, atau kalau rajin boleh meracik sendiri mengikut resepi kegemaran.


Homemade Popcorn Chicken
4 buah dada ayam - potong dadu
200 gram tepung serbaguna
1/2 sudu teh serbuk pati ayam
1/2 sudu kecil gula
2½  sudu teh garam
3/4 sudu teh serbuk lada sulah
1/8 sudu teh serbuk paprika
1/8 sudu teh bawang putih
1/8 sudu teh baking powder
2 sudu besar susu segar
1 biji telur ayam
200 gram bread crumb
Minyak sayur, untuk menggoreng

Cara Membuat :
Gaulkan ayam dengan sedikit pati ayam, garam, dan gula. Ketepikan. Campur tepung serbaguna, garam, serbuk lada, paprika, bawang putih, dan baking powder hingga rata. Ketepikan. Campur susu segar dan telur, pukul hingga rata. Ketepikan. Golek - golekkan ayam dengan tepung serbaguna.

Celupkan ayam ke dalam campuran telur dan juga susu segar. Kemudian golekkan pula ke dalam mangkuk bread crumb. Untuk coating yang agak tebal ulangi proses menyalut telur dan juga bread crumb. Goreng dengan minyak panas menggunakan api sedang hingga keemasan. Hidang dengan sos kegemaran atau di makan begitu saja pun sedap!