Nuffnang

Wednesday, December 12, 2012

Donat Labu Coklat



Jom jamu mata dengan donat labu!!
Pada hari ini resepi donat boleh di variasikan. Boleh letak ubi kentang, labu kuning, ubi merah dan mungkin banyak lagi yang boleh di campurkan agar adunan terasa lebih lembut, gebu dan sentiasa moist! Hari ini saya letak labu kuning yang di haluskan dan di campurkan ke dalam adunan tepung. Lagi pun si bongsu kat rumah  dah dua tiga hari ni memang minta di buatkan donat. Nah memang berbaloi! Terbayar sudah hutang saya! Inilah donat labu yang sudah di hias ikut citarasa kanak - kanak, ya. Hehe.


Donat Labu Coklat
Bahan A :
300 gram tepung  protein tinggi
30 gram susu tepung
2 sudu teh ragi instant
50 gram gula pasir halus

Bahan B :
2 biji  kuning telur
50 ml air sejuk
150 gram Labu kuning - kukus, haluskan dan sejukkan

Bahan C :
50 gram mentega
½ sudu teh garam halus

Cara membuatnya:
Campur semua Bahan A, kacau rata. Masukkan Bahan B,  uli hingga berketul. Masukkan bahan C uli terus sehingga menjadi adunan yang kalis. Bulatkan dan rehatkan 15 menit. Canai nipis adunan dan terap dengan acuan. Tunggu sehingga donat naik atau mengembang. Goreng keperangan.  Hias dengan coklat masakan yang di cairkan atau salutkan dengan gula icing.

Donat - donat ... satu seringgit hehe ...

Saturday, December 8, 2012

Tofu Nuggets



Nugget merupakan makanan kegemaran kanak - kanak! Biasanya kalau saya goreng nugget kejap saja dah lincin. Pinggan tak angkatpun. Saya juga yang kena kutip simpan. Adui. Memandangkan semua bahan - bahan membuat nugget ada di rumah, seawal jam enam pagi saya memulakan projek homemade nugget ini!! Lumayan dapat banyak juga. Sebahagian saya goreng untuk sarapan dan sebahagian lagi saya frozenkan. Selain bentuk persegi, boleh juga nugget ini di terap dengan acuan cookies untuk bentuk yang lebih menarik.


Tofu Nuggets
300 g daging ayam cincang
1 sudu teh serbuk lada sulah
2 biji telur ayam - pukul ringan
100 g tahu putih - lecek halus
1 buah (75 g)  lobak merah -  cincang halus
25 g tepung gandum
1 sudu besar marjerin
1 biji bawang besar - cincang halus
1 sudu teh serbuk stok ayam
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Bahan Untuk Salut :
200 g  serbuk roti
2 biji telur - di pukul ringan

Cara membuat:
Tumiskan bawang besar bersama  satu sudu besar marjerin. Kacau rata tahu, garam, serbuk lada. Tambahkan telur, ayam, lobak merah, bawang besar tumis dan juga tepung. Kacau hingga rata.Taruh adonan dalam loyang yg di sapu nipis dengan minyak dan di lapik dengan kertas roti. Kukus selama 15 menit atau sehingga masak.

Angkat dan sejukkan. Keluarkan dari loyang dan cetak bentuk persegi atau sesuai selera. Celupkan ke dalam telur dan gulingkan ke dalam serbuk roti. Buat sehingga habis. Goreng dalam minyak banyak dan panas hingga kuning keemasan. Angkat dan hidang.

Friday, December 7, 2012

Chiffon Pelangi



Ibuuuu nak kek! Itulah jeritan si bugsu petang kemarin.
Rasanya betul juga lama tak buat kek. Kek apa yang mudah dan cepat proses membuatnya? Ah, buat chiffon kek sahaja! Resepi kek dari Chef Kevin Cai, dan saya tengok resepi ini dari blog Kak Yati. Thanks ya kak. Banyak lagi rasanya resepi - resepi yang ingin di cuba! Ok. Belambak lagi kerja kena buat. Sila semak resepinya  di jamin sedap, enak, lembut dan membelai lidah. Salam ...



Chiffon Pelangi
Bahan A :
6 biji kuning telur
4 tbsp Minyak jagung/minyak masak
60ml Susu segar
1/2 tsp Esen vanila
50g Gula Kastor
110g Tepung naik sendiri

Bahan B :
6 biji putih telur
100g Gula Kastor
1/4 tsp cream of tartar

Cara Membuatnya :
Panaskan oven pada suhu 170C, siapkan tin chiffon berukuran 22 cm atau 9 inci. Tak perlu di sapu dengan marjerin. Ketepikan. Masukkan bahan B dan gula kastor ke dalam mangkuk mixer dan putarkan sehingga  adunan  menjadi soft peak. Ketepikan. Dlm bekas yang lain, satukan semua bahan A kacau dan sebatikan dengan menggunakn whisk  dan ketepikan sekejap.

Tuangkan adunan A ke dalam adunan B (putih telor). Putarkan dengan whisk dengan kaedah kaup balik hingga rata dan sebati. Bahagikan adunan kepada 4 bahagian. Titiskan sedikit pewarna hijau, warna pink, kuning dan coklat (1 tsp serbuk koko).

Tuang keempat empat adunan yang telah diwarnakan tadi secara berselang seli ke dalam acuan / tin yang telah disediakan tadi. Tuangkan warna kuning dulu diikuti warna coklat, warna pink dan warna hijau. Bakar selama 30 - 40 minit hingga masak.

Thursday, December 6, 2012

Crispy Roti Poket



Cepatnya jarum jam berputar. Kejap sahaja dan masuk asar. Penat pun belum hilang lagi. Dah harus pergi ke dapur untuk memasak! Sebetulnya ini adalah menu sarapan tadi pagi. Lama saya membelek resepi ini, nampak mudah dan intinya boleh di pelbagaikan. Inilah cara yang mudah untuk membuat roti poket yang jimat masa! Hehe. Thanks kepada mama Zieza, dan juga Kak Nor, di atas perkongsian ini. Resepi yang cukup ringkas tetapi sedap!


Crispy Roti Poket
10 - 12 keping roti sandwich (gardenia)
serbuk roti / breadcrumbs secukupnya
sos cili secukupnya
1 biji telur
minyak untuk menggoreng

Bahan inti:
2 keping daging burger oblong RAMLY
1/2 batang lobak merah - dihiris panjang spt bantang mancis
sedikit kobis - dihiris nipis
1/2 biji bawang merah - dihiris nipis
1 biji cili merah - dicincang/hiris nipis
3 tangkai daun sup - dihiris
2 sudu besar mayonis
1 sudu besar serbuk lada hitam
secubit garam

Cara Membuatnya :
Goreng daging burger tanpa minyak hingga masak. Hiris nipis dan panjang daging burger yg dah masak tadi. Masukkan ke dalam bekas, masukkan sayuran, bawang besar, cili merah, dan juga daun sup. Gaulkan. Masukkan mayonis, serbuk lada dan garam. Gaul sebati dan ketepikan.

Nipiskan roti dgn kayu penggelek  (tanpa buang kulit tepi) sehingga nipis buat hingga habis. Susun bersama 2 keping roti tadi dan tekap dgn bekas bulat (samada bekas air, acuan bulat  yang sepadan dengan saiz roti. )

Dengan menggunakan berus, sapu telur yg dah dikocok pada keseluruhan roti. Salutkan roti dgn breadcrumbs hingga rata. Goreng roti di dalam minyak yang sudah di panaskan. sehingga keemasan. Angkat dan toskan. Insyaallah roti akan mengelembung ketika digoreng. Dengan menggunakan pisau yg tajam, potong 2 roti tadi. Ambil sedikit inti tadi dan isikan ke dalam roti tersebut. Buat sehingga habis. Hidang atas pinggan dan picitkan sos untuk menambah keenakkannya..

* kaedah menyapu telur dgn menggunakan berus boleh memberi rasa yg lebih crispy pd roti berbanding dgn cara mencelupnya direct ke dalam telur.
** Minyak jgn terlampau panas, nanti roti akan menggelembung dgn agak besar (takut roti tu pecah atau crack). Api biar sedang2 jer..

Wednesday, December 5, 2012

Kuey Teow Kantonis



Hari ini cuaca lembab. Teringin nak makan menu yang berkuah dan panas! Rasanya memang ada benda nak buat hari ini, resepi ni lama terperap dan hari ini baru ada masa lagi nak mencuba. Kalau tak cuba tak tahu, kan? Ok. Resepi saya tengok di sini. Memang best di makan semasa panas. Dan sesuai sangat kalau ada kanak - kanak dekat rumah tuu, menu ni memang tidak  pedas! Ok. Jumpa lagi dengan resepi yang berbeza.

Kuey Teow Kantonis

Jika menggunakan kuey teow yg basah - celur sekejap
200 gm udang basah - kopek kulit
250 gm isi ayam - dihiris
3 keping fish cake
5 ulas bwg putih - diketuk lalu dicincang halus
1 cm halia muda - hiris halus memanjang
1/4 labu bawang besar
2 pokok sawi
½ cawan tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
1 biji telur
1 sudu besar minyak bijan
2 sudu besar minyak masak @ secukupnya
garam secukup rasa
1 sudu kecil gula
lada sulah secukupnya
Sedikit serbuk lada hitam utk tabur
1 cawan air rebusan ayam
2 biji cili hijau / cili jeruk secukupnya ( saya tak buat )
air secukupnya untuk mendapatkan kuahnya. (agak2 je ni tak sukat pun.. tengok pekat kuah yg kita nak)



Cara Membuat :
Panaskan 2 sudu minyak biasa & 1 sudu minyak bijan dlm kuali.Tumiskan bawang putih, halia hingga agak garing ( jgn sampai jd coklat tua) dan masukkan pula bwg besar, tumis seketika. Masukkan isi ayam & sedikit air dan garam dulu, msk seketika. Masukkan air secukupnya dan serbuk pati ayam. Masukkan air tepung jagung, serbuk lada sulah, gula dan garam secukup rasa. Kacaukan agar tak bergentel. Biarkan mendidih. 

Masukkan tauhu, sayuran2 tadi dan udang, biar seketika hingga sayur sedikit layu. Kalau rasa kuah terlalu pekat boleh tambah air lagi. Biar mendidih. Akhir sekali masukkan telur dan di  kacau skit.Tuang kuah ke atas kuey teow yg dicelur / rebus tadi lalu taburkan dengan cili jeruk atau cili hijau.  

Monday, December 3, 2012

Air Soya Aneka Perisa


Adui penatnya hari ini. Penat mengemas rumah setiap harinya. Cuci pinggalah, mop lantailah.
Tadi saya ada singgah Tesco dan ternampak kacang soya organik dan terus beli.
Lama tak minum air soya kalau belipun sekali - sekala sahaja, saya lebih suka membuat sendiri
baru terjamin tak ada benda asing seperti pengawet yang di masukkan ke dalam air minuman
ini! Buatpun mudah jaa, kan? Hanya perlu rendan kacang soya semalam dan terus kisar ...Jom
ke dapur membuat homemade kacang soya bersama saya! Saya buat tiga perisa yang berbeza
untuk menambat selera anak - anak saya di rumah.

Bahan - Bahannya :
500 gram kacang soya
2 liter air
1/2 kg gula pasir
1 sudu teh esen strawbery
1/2 sudu teh pewarna merah
2 sudu teh serbuk teh hijau
1/2 sudu teh pewarna hijau

Cara Membuat :
Cuci bersih kacang soya lalu toskan. Rendamkan kacang soya dengan 1000 ml air mendidih.
Simpan semalam lalu cuci bersih dan toskan.
Kisarkan kacang soya dengan sebahagian air sehingga halus. Perah dengan menggunakan kain
yang bersih. Ulang proses ini sehingga kacang soya habis.

Kemudian masukkan air kacang soya tadi ke dalam periuk. Masukkan gula secukup rasa. Masak
air kacang soya sehingga mendidih. Bahagikan tiga bahagian. Masukkan perisa kegemaran.
Masak lagi sehingga mendidih dengan api kecil. Hidangkan.


Puding Strawbery



Salam dan selamat petang semuaa. Cuaca di Pinang dah mula panas jadi memang sesuai sangatlah kalau nak buat menu atau hidanganan yang menyejukkan tekak kan? Dapat dua peket strawbery pemberian dari adik ipar. Dah dua hari tersimpan di dalam peti ais, tak ada sapa makan kah? Saya cuba 2- 3 biji memang masamlah! Patutlah anak - anak buat tak layan jaa.Hehe. Menu saya hari ini memang simple tapi percayalah puding ni memang lembut dan terasa masam manisnya. Sapa yang ingin mencuba, sila yaa! Jom semak resepinya di bawah ini ...


Bahan - Bahannya :
10 gram serbuk agar - agar
150 gram buah strawbery
200 gram gula pasir
1/2 tin susu pekat manis
250 ml air
900 ml air
3 biji putih telur
10 biji buah strawbery untuk hiasan
Sedikit pewarna merah

Cara Membuatnya :
Kisarkan buah strawbery bersama 250 ml air. Masak 900 ml air bersama gula dan serbuk agar - agar. Campurkan buah strawbery yang di kisar tadi. Kacau sebati. Tunggu sehingga mendidih. Ketepikan. Sementara itu pukul putih telur sehingga soft peak. Kemudian masukkan agar - agar tadi sedikit demi sedikit sambil di pukul dengan kelajuan rendah.

Pukul sehingga adunan agar - agar menjadi suam. Basahkan acuan agar - agar. Susun buah strawbery di dasar acuan. Tuangkan agar - agar tadi, dalam 1/2 adunan dulu. Bekukan. Setelah beku cakar agar - agar tadi menggunakan garfu, tuang lagi baki agar - agar tadi. Sejuk dan hidangkan.

Friday, November 23, 2012

Pastel



Kita tentu dah biasa dengan karipap. Nah kudapan saya hari ni adalah pastel, jajanan ala Bandung yang hampir sama dengan karipap! Tetapi berlainan sikit dari segi intinyee  dan pastrinyee. Kalau ke Bandung, kuih - muih ini boleh kita cari di gerai atau toko kuih. Dekat pasar basah pun terkadang ada orang yang menjualnya. Boleh di katakan senang nak cari! Nah, saya memang teringin sangat nak mencubanya. Senang dan mudah sahaja, dan yang paling penting tak payah pergi jauh - jauh ke Bandung lagi. Hanya kuarkan alat - alat baking di rumah, pastel rangup dah siap sedia di depan mata! Ayoo buat!!

Bahan Membuat Kulit Pastel :
250 gram tepung gandum
1/2 biji telur
50 gram mentega - cairkan
1/2 sudu teh garam halus
70 ml air sejuk

Bahan Membuat Inti :
1 buah dada ayam - potong dadu
150 gram suhun, rendam hingga lembut dan toskan
1 biji lobak merah - potong dadu
Sedikit kacang buncis - potong nipis

Bahan Dikisar Halus :
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu teh lada sulah
1/2 sudu teh serbuk pati ayam
Gula dan garam secukup rasa
1 sudu besar marjerin - untuk menumis

Cara Membuat :
Inti : tumiskan bahan kisar sehingga naik bau. Masukan ayam tumiskan sehingga ayam menjadi lembut. Masukkan lobak merah dan tunggu sehingga lembut. Masukkan garam, stok ayam dan serbuk lada sulah. Masukkan suhun. Kacaukan  hingga sebati. Angkat dan sejukkan.

Kulit : Didalam mangkuk masukkan tepung, telur, garam dan mentega cair. Kacau sehingga berketul. Masukkan air sedikit - demi sedikit. Uli sehingga menjadi adunan yang tidak  melekat ditangan. Rehatkan 15 menit. Canai nipis adunan kulit. Masukkan inti dan kelim tepinya seperti membuat karipap. Goreng keperangan. 



Bolu Kukus Merekah Coklat



Helooo...
Hujan - hujan macam ni memang cepatlah perut berirama untuk minta di isi! Hehe. Selepas solat subuh tadi saya ada buat bolu kukus, kurang lebih macam apamlah kejadiannya. Lumayan untuk sarapan pagi bersama teh hangat, cukup sedap! Apalagi sekarang ni anak - anak tengah bercuti, bangkit tido ajee terus lapar. Adui kadang kalau tak sempat buat sarapan tu, memang pergi cari di gerai jaa, selesai masalah saya! Hehe.Ok saya tuliskan di sini resepi bolu kukusnyee. Sangat senang dan ikut stepnya, pasti jadi merekah dan cantik!


Bahan - Bahanya :
2 biji telur
200 gam gula kastor
1/2 sudu besar emulsifier / ovellete
250 gram tepung gandum
25 gram serbuk koko
1/2 sudu teh baking powder
225 ml minuman bersoda
50 gram coklat masakan - cairkan
1/2 sudu teh paste coklat

Cara Membuat :
Pukul telur, gula, dan ovellete sehingga naik gebu dan pekat. Tambahkan tepung, serbuk koko, dan baking powder sambil di ayak berselang - seli dengan minuman bersoda sambil di pukul rata. Masukkan coklat masakan yang telah di cairkan. Pukul sebati. Panaskan periok pengukus.Sudukan adunan ke dalam acuan bolu kukus yang sudah di lapik kertas roti. Kukus 10 menit menggunakan api besar sehingga masak.


Monday, November 19, 2012

Bakso Kojek



Pagi semuaa. Hari nak kongsikan resepi yang saya dah cuba, petang kemarin. Senang
dan mudah sahaja. Kebetulan saya memang ada simpan tepung sagu dan ikan tenggiri.
Resepi saya tengok di dalam majalah resepi yang saya beli di Bandung dulu. Hari ini
baru sempat mencuba setelah sekian lamanya tersimpan di dalam almari buku!!
Saya ajak sekali anak - anak untuk menggentel bakso kojek ni, buat bulat - bulat sapa
pun boleh, kan?? Hehe. Saya lebihkan isi ikan dan kurangkan tepung sagu nak bagi sedap
dan tak nak terlalu liat nantinya. Jom intai apa bahan - bahannya!

Bahan Bakso Kojek :
150 gram tepung sagu
40 ml air
150 gram daging ikan tenggiri - haluskan
Sedikit daun sup - cincang kasar
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh serbuk stok ayam

Bahan Sambal :
100 gram kacang tanah goreng - kisar kasar
2 camca besar cili  kisar
1 sudu besar cili sos
3 ulas bawamg merah - kisar
1 sudu teh gula pasir
Air secukupnya
Gula merah secukupnya
Garam secukup rasa

Cara Membuat :
Bakso Kojek , kacau tepung sagu, air, daging ikan, daun sup dan garam sehingga kalis. Bulatkan sesuai selera lalu rebus di dalam air memdidih sehingga terapung. ketepikan. Sambal tumiskan bawang merah sehingga naik bau, masukkan cili kisar dan sos. Masukkan gula dan garam. Sesuaikan rasa. Masak sehingga pecah minyak. Sajikan dengan bakso kojek.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Kongsi Resepi