Nuffnang

Monday, April 22, 2013

Bun Sambal Bilis


Anak - anak suka sangat makan bun ikan bilis Gardenia. Dulu harga nya baru 50 sen saja dan sekarang
dah naik sampai 90 sen. Oh, tak habis - habis barang naik kan! Kadang - kadang rasa penat asyik naik
saja barang - barang keperluan dapur ni, turun jangan haraplah.. hihi. Aihhn membebel saja saya hari ni.
ok saya nak kongsikan resepi bun ikan bilis hari ini, pasti semua dah tahu, kan? Yaa, memang mudah
sangat! Roti yang lembut dan sedap di makan semasa panas..  atau nak di makan begitu sahaja pun bolehlah juga! Terpulang citarasa masing - masing. Untuk mendapatkan bun ikan bilis yang lagi kaw kena pandai buat sambal bilisnya yang betul - betul sedap yaa, barulah terangkat bun ikan bilis natinya!!


Bun Sambal Bilis
3 cawan tepung roti
1 cawan air suam
4 sudu besar gula halus
2 sudu besar susu tepung
1 sudu teh garam halus
1 1/2 sudu teh yis
1 biji telur
40 gram butter
1/2 sudu teh bread improver

Bahan Gliss :
1 biji kuning telur
1 sudu besar susu cair - sebatikan kedua bahan ini.

Cara membuat :
Masukkan semua bahan ke dalam breadmaker mengikut urutan bahan basah kemudian bahan kering.
Pilih setting DOUGH dan biarkan menguli sehingga siap. Biarkan doh naik kembang lebih kurang 1 1/2 jam atau lebih kemudian uli semula. Tumbuk2an untuk mengeluarkan angin.
Bahagikan bulat2 kecil lebih kurang 50g setiap satu kemudian canai dan intikan denga sambal ikan bilis
dan bentukkan bulat dengan kemas. Susun di dalam loyang yang telah di sapu nipis marjerin.
Perap lagi sehingga naik dan kembang. Sapu dengan bahan gliss dan bakar pada suhu 160 C sehingga masak dan keperangan.

Sambal Ikan Bilis
1/2 kg ikan bilis - basuh dan tos
5 ulas bawang merah - kisar
3 ulas bawang putih -  kisar
2 sudu besar cili kisar
1 biji bawang besar - mayang
2 sudu besar air asam jawa 
Garam dan gula secukup rasa
1 sudu besar tepung gandum

Cara  Membuat :
Ikan bilis dibasuh . Goreng separuh masak atau sehingga layu.  Angkat dan ketepikan.
Tumis bawang merah dan bawang putih yang dikisar sehingga kekuningan sebelum dimasukkan cili kisar. Masak sehingga cili betul betul garing.

Masukkan ikan bilis yang digoreng dan sedikit air. Masaklah lama lama sehingga air kering bergantung kepada kesukaan masing masing.

Akhir sekali masukkan bawang besar yang dimayang, air asam, garam dan gula. Sesuaikan rasa dan akhir sekali masukkan tepung gandum. Kacau sebati  hingga sambal kelihatan pekat, dan bolehlah diangkat.



Saturday, April 20, 2013

Water Melon Cookies


Asyik tayang cookies jaa, macam rayalah pulak! Petang tadi anak bongsu saya tunjuklah cookies tembikai ni di dalam sebuah majalah  lama saya, dan terus godek - godek buat. Resepi dari buku cookies Nyonya Liem yang saya beli  dua tahun lepas dan hari inilah baru rajin nak mencuba salah satu resepi di dalam buku masakan beliau! Banyak resepi yang cukup menarik di dalamnya, tak rugi untuk membeli atau menjadikan bahan bacaan koleksi peribadi di rumah memang berbaloi. Inilah cookies tembikai yang saya buat petang tadi, warnanya cukup memikat hatiku ini, Hihi..


Water Melon Cookies
Bahan - Bahan 1 :
200 gram mentega
100 gram margarin
170 gram gula halus
3 kuning telur
1 putih telur
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh esen vanila
1 sudu teh emplex

Bahan - Bahan 2 :
20 gram susu tepung
20 gram tepung jagung
150 gram tepung gandum
1 sudu besar bijan hitam
Pewarna merah secukupnya

Bahan - Bahan 3 :
20 gram susu tepung
20 gram tepung jagung
150 gram tepung gandum

Bahan - Bahan 4 :
20 gram susu tepung
20 gram tepung jagung
150 gram tepung gandum
1 sudu teh pandan paste

Cara Membuat :
Campur dan pukul bahan 1  sehingga kembang dan gebu. Bahagi adunan menjadi 3 bahagian. Campurkan dengan bahan 2, 3, dan 4 kacau hingga sebati. Timbang adunan merah seberat 125 gram bentukkan bulat memanjang. Simpan di dalam peti ais sehingga keras.

Canai nipis adunan berwarna putih, letakkan adunan berwarna merah tadi di bahagian tengah dengan kemas. Simpan 20 menit di dalam peti ais sehingga keras. Canai nipis adunan berwarna hijau letakkan adunan yang telah di bentuk tadi sehingga tertutup seluruh adunan. Simpan dan rehatkan sehingga keras di dalam peti sejuk lagi.

belah adunan menjadi 2 bahagian. Potong dengan ketebakan 1/2 cm letakkan dan susun ke dalam loyang yang telah di sapu nipis marjerin. Bakar pada suhu 150 C sehingga masak. Note : taburkan sedikit tepung semasa membentuk adunan ( kerana adunan terlalu lembek ).


Monday, April 15, 2013

Cornflakes Drop


Ada setengah balang lagi cornflakes kat rumah, rasanya anak - anak dah jemu makan kot. Pada
kebiasanya depa suka makan di campur dengan susu, ala sarapan orang putih gituu. Hehe..
Balance cornflake yang terbiar ini akan saya olah menjadi cookies yang super simple! Cepat di
masak  dan sedap di makan. Rasanya yang rangup sesuai untuk kudapan dan time rehat kat
rumah sambil tengok tv yaa. Thanks Quinnie.

Cornflakes Drop
1 1/2 cawan tepung kek
1/2 cawan gula halus
250 gram marjerin atau butter
1 biji telur
1/2 sudu teh esen vanila
Cornflakes secukupnya - ramas kasar

Cara Membuat :
Pukul butter dan gula dengan senduk kayu hingga agak kembang. Masukkan telur dan vanila gaul sebati. Masukkan tepung sedikit-sedikit hingga rata. Jangan sesekali tambahkan tepung, yaa!!
( adunan agak lembek ).
Gunakan dua sudu kecil ambil ~ 1/2 sudu kecil dan dropkan ke dalam cornflakes gaulkan dan susun dalam loyang jarakkan sedikit. Bakar pada suhu 160 C sehingga keperangan.

Sunday, April 14, 2013

Tomyam Asli Thai


Lama rasanya tak buat tomyam. Untuk memenuhi permintaan anak - anak, maka hari ni saya
buatlah sup ala thai ! Hari ni paste tomyam saya cuba buat sendiri, selalunya saya akan beli
kt kedai, dah siap punya atau dalam peket. Ternyata cukup mudah untuk menyediakannya bukan?
Lebihan paste yang saya buat ini saya simpan di dalam peti ais untuk kegunaan yang lainnya.
Seperti membuat nasi goreng atau sesuai keperluan..  hmm cukup mudah! Resepi saya ambil dari my resepi.com. Kalau  dah habis rasanya saya akan buat lagi kerana sungguh memudahkan kerja
saya di dapur. Jangan lupa untuk mencuba!

Bahan - bahan  yang di gunakan pulak mengikut selera dan stok yang ada di rumah saja. Apa yg
ada di dalam peti ais itulah yang saya letak! Hehe. Lega rasanya boleh makan tomyam hari ini!
Cukup membuka selera!!
Tomyam Asli Thai

Bahan - bahan UntukMembuat Paste :
5 biji bawang merah
2 biji cili merah
5 tangkai cili kering - rendamkan dengan air panas sekejap
1 inci lengkuas
2 batang serai
1 sudu besar udang kering - rendamkan sekejap
3 helai daun limau purut
1 inci belacan - dibakar
sedikit air asam jawa, garam dan gula secukupnya

Untuk sup tomyam
1/4 ekor ayam - dipotong kecil
5 ekor udang atau lebih  ( saya letak ayan saja )
2 ekor sotong atau lebih
1 labu bawang besar - dibelah 6
5 ulas bawang putih - diketuk
1 inci lengkuas - diketuk
2 batang serai - diketuk
1/2 batang karot, bunga kobis dan sebagainya
5 helai daun limau purut
1 biji buah tomato - dibelah 4
1 sudu besar perencah tomyam atau lebih
1 sudu besar sos ikan
2 biji limau nipis - ambil jusnya
3 sudu besar susu cair
cili padi sesuai selera
air secukupnya - untuk membuat sup
garam secukup rasa

Cara Membuat :
Cara membuat perencah tomyam: kisar semua bahan kecuali air asam jawa, garam dan gula kemudian panaskan sedikit minyak, tumiskan bahan2 kisar tadi sehingga naik bau dan pecah minyak masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa masak hingga menjadi paste. sesudah sejuk bolehlah disimpan di dalam bekas dan simpan di dalam fridge.

untuk membuat sup tomyam: rebuskan ayam dengan air (banyak atau sedikit air bergantung pada selera masing2) sehingga 1/2 masak. Masukkan bawang besar, bawang putih, daun limau purut serai, cili padi dan lengkuas. Masukkan sotong, udang, sayur2an dan buah tomato. Masukkan pula pes tomyam, sos ikan, jus limau nipis dan garam secukup rasa. kacaukan rata.

Tunggu sehingga ayam empuk dan bahan2 seafood lain masak padamkan api masukkan susu cair hidangkan dan taburkan dengan daun ketumbar.

Apam Balik Coklat


Mendung macam nak hujan malam ni, kalau betul - betul turun hujan lagilah best! Bolehlah rasa
sejuk sikit, sebab tiap - tiap malam tido rasa tak selesa kerana panas sangat!
Harini saya nak kongsi lagi satu resepi apam balik, perisa coklat. kalau cari kat pasar malam
memang tak delah, apam balik yang ini kena buat sendiri yee!! hehe.. sedap dan cukup mudah
di sediakan sesuai unuk sarapan atau minum petang, pagi atau pun malam. Bila - bila sahaja! ok.
saya taip resepinya di bawah yee..


Oooh, jangan takut untuk mencuba nanti, yaa..
texturenya cukup lembut dan ianya seakan - akan kek coklat pun ada jugak!  Cukup sedap! nak
tahu macam mana rasanya kena cubalah di dapur sendiri!

Apam Balik Coklat
250 gr tepung gandum
1 sudu besar serbuk koko
1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh ragi instan
1/2 sudu teh soda karbonat
75 gr margarin
40 gram coklat masakan
2 biji telur
1 kuning telur
350 ml susu cair
70 gram gula pasir

Bahan Inti :
Kacang tumbuk
Gula pasir
Keju chedar parut

Cara Membuat :
Cairkan margarin, masukkan coklat, kacau hingga coklat cair, ketepikan. Campur dan ayak tepung,  serbuk koko dan baking powder, ketepikan. Campurkan susu cair dan ragi instan. Ketepikan.

Pukul telur dan  gula hingga kembang. Tambahkan campuran tepung sedikit demi sedikit bersela
seling dengan susu cair. Kacau hingga sebati.
Tuang campuran coklat perlahan - lahan, kacau hingga rata dan diamkan selama kurang lebih 30
menit. Tutup adunan dengan kain bersih.

Panaskan kuali anti lekat, sebelum menuang adunan, masukkan soda karbonat, kacau hingga rata.
Tuang adonan dan ratakan hingga memenuhi kuali. Tunggu hingga berlubang, tabur dengan  gula pasir atau inti kegemaran. Tutup sekejap dan biarkan masak sepenuhnya. Angkat dan hidang.
Note : Sapu permukaan apam dengan margarin, agar kekal moist!


Friday, April 12, 2013

Ikan Pesmol


Salam,
Harini dapat ikan murah lagi! Terharu di buatnya, terharu dengan kebaikan pakcik penjual ikan langganan saya ini. Syukur, selalu saja saya jumpa orang baik. Harini nak masak simple saja or ala - ala kampung pasti best. Oooh, baru teringat rasanya nak masak ikan pesmol lahh.. Resepi asal dari Chef Wan. Bahan - bahan untuk memasak ikan memang saya dah siapkan sehari sebelumnya, memandangkan perut saya ni dah mula bunyi minta di isi, jom ke dapur nak siapkan hidangan saya hari ini!

Ikan Pesmol
1 ekor ikan siakap dibersihkan
Garam secukup rasa
Lada hitam yg baru dikisar
1 batang serai - dititik
2 cm lengkuas - dititik
4 tangkai cili padi
2 helai daun limau purut
2 helai daun salam
2 cawan santan pekat - letak 1/2 cawan santan cair saja
Air perahan daripada 1 biji limau nipis
Gula secukup rasa

Bahan dikisar :
5 tangkai cili merah
4 tangkai cili padi
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras
1/2 sudu teh serbuk kunyit
2.5 cm halia

Cara Membuat :
Lumurkan ikan dengan garam dan lada hitam. Goreng ikan dengan minyak yang penuh sehingga garing. Panaskan 3 sudu minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga wangi. Masukkan serai dan lengkuas. Tambah cili padi, daun limau purut dan daun salam. Kacau rata. Masukkan santan dan renihkan sehingga kuah memekat. Perasakan dengan air limau nipis, garam dan gula. Tuang kuah ke atas ikan goreng dan hidang segera.

Kek batik Lapis


Kek yang penuh rasa coklat!! Saya buat kek ni untuk jamu kawan - kawan anak saya yang datang
rumah hari tu. Resepi saya ikut di sini. Thanks Hana.
Saya buat di dalam loyang saiz 7 inci kejap saja dah lincin, saya suka tengok layernya yang
berlapis - lapis! Untuk mendapatkan potongan yang betul - betuk kemas simpan kek batik marie ni
semalam di dalam peti ais ya dan potong dengan pisau yang tajam.

Kek Batik Lapis
250g@satu peket biskut merie
200g@satu peket milo
397g @ 1 tin susu pekat - hana buh 3/4tin
5 biji telur
1sk esen vanilla
150g butter @ 2/3 cawan
2 sudu besar serbuk koko
1sk nescaffe - optional
2 sudu besar air panas - optional (utk kek yg agak moist)

Cara Membuat :
Sediakan loyang 7 inci yang di alas dengan kertas minyak bawah dan juga kelilingnya. Pastikan kertas minyak melebihi paras loyang. Ketepikan.

Satukan semua bahan kecuali butter dan kacau sebentar. Masukkan ke dalam kuali. Buka api kecil untuk mengelakkan hangit bahagian bawah. Kacau sehingga semua bahan sebati. Kemudian masukkan butter dan kacau lagi sampai pekat dan kasar berbintil-bintil. Matikan api.
Cedokkan satu senduk adunan ke dalam loyang dan ratakan. Susun biskut di atasnya. Ulang proses melapis sehingga habis.

Lapisan yang terakhir tekan sedikit lebihan kertas minyak tadi supaya permukaan rata dan tutup. Dan biarkan sejuk beberapa jam di dalam peti ais. Keluarkan,  potong. Hidangkan.

Sunday, April 7, 2013

Pempek Palembang


Apa benda tuu?? Harini kita tukar selera pulak dengan mencuba kulinari dari Indonesia, Pempek Palembang merupakan makanan khas Sumatera Selatan (palembang) yang terbuat dari bahan dasar ikan dan sagu. Penyajian pempek palembang selalu disajikan dengan semangkuk kuah pedas dan menggigit berwarna coklat kehitaman yang disebut dengan cuko atau cuka. Resepi pempek
ni sangatlah pelbagai untuk percubaan pertama saya akan membuat pempek lenggang yang
kaedahnya sama dengan membuat kerupok lekor.

asal mula pempek dari daerah ini. Kononnya, ada apek-apek (bapak tua) yang kreatif, membuat bakso ikan menjadi bentuk lain yang dimakan dengan cuko. Apek itu berjualan keliling  kampung Ulu dengan membawa bakul rotan. Perniagaannya laku, setiap kali orang menunggu  dan memanggil Apek! Ada juga yang memanggilnya Mpek! Lama-lama jadilah kata Pempek!!


Pempek Lenggang
250 gram daging ikan tenggiri - haluskan
300 gram tepung sagu
1 sudu teh garam
1 1/2 sudu teh gula pasir
1/2 sudu teh penyedap rasa
20 gram tepung gandum
200 ml air
1 ulas bawang putih - di parut
50 gram tepung sagu - untuk menabur
1 batang daun bawang - potong halus
3 biji telur - pukul ringan
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh lada sulah

Bahan Pelengkap
50 gram udang kering - sangai dan haluskan
1 biji timun - potong dadu
100 gram mie kuning

Cara Membuat :
Rebus tepung gandum, air dan bawang putih sambil di kacau sehingga pekat Angkat. Tuangkan ke
atas daging tenggiri. Uli sehingga rata. Masukkan garam, gula pasir, dan penyedap rasa. Uli
hingga kalis. Masukkan tepung sagu. Kacau sehingga rata. Lumur tangan dengan sedikit tepung
sagu. Ambi sedikit adunan. Bentukkan atau gentelkan secara memanjang. Rebus air hingga
mendidih masukkan pempek tadi, apabila pempek sudah timbul menandakan ianya sudah masak.

Angkat dan toskan. Potong 1 cm pempek tadi. Tambahkan telur, daun bawang, garam dan lada 
sulah. Pukul ringan. Masak di dalam kuali atau pan anti lekat sehingga keperangan dan adunan
sekata. Sajikan pempek bersama sos cuko dan bahan - bahan pelengkap.

Bahan & Rempah Sos cuko
500 ml air
100 gram gula merah
50 gram gula pasir
5 biji cili merah
2 - 3 biji cabai melaka
3 ulas bawang putih
4 sudu makan cuka
2 sudu makan udang kering
1 sudu teh garam

Cara Membuat :
Siapkan periok, masukkan air dan semua rempah cuko. Masak hingga mendidih, sesuaikan rasanya. Angkat dan tapis.


Saturday, April 6, 2013

Roti Canai Keju


Anak - anak suka sangat sarapan roti canai. Memandangkan tadi pagi hujan dan malas nak kuar jadi memang teruja sangat nak buat sendiri! Well, bukan susah sangatpun. Kalau tak reti nak tebar cam kat kedai mamak tu bolehlah tarik perlahan sehingga adunan menjadi nipis. Harini saya buat roti canai keju, makan begitu sahaja pun dah sedap rasanya! Saya buat 1/2 kg tepung dah dpt sepuluh ketul roti canai keju ni, banyak kan. Jimat dan cermat. Save duit saya hari ini! Hehe..

Roti Canai Keju
500 gram tepung gandum
20 gram susu tepung
50 gram gula pasir
1 sudu teh garam halus
30 gram marjerin
1 biji telur
250 ml air sejuk

Bahan Sapuan :
100 gram marjerin

Bahan Taburan :
150 gram keju cheddar - sagat halus ( taburkan sikit2 )
1/2 sudu teh susu pekat manis

Cara Membuat :
Campurkan tepung gandum, susu tepung, gula pasir, garam dan marjerin. Kacau sehingga berbutir. masukkan telur daan air sejuk sedikit demi sedikit sambil di uli sehingga elastik. Timbang adunan
seberat 70 gram. Bulatkan dan lumurkan dengan sedikit marjerin. Letakkan di dalam bekas dan biarkan semalam.

Lumurkan meja adunan dengan sedikit minyak masak. Canai nipis adunan atau tarik dengan perlahan - lahan. Tabur dengan keju dan 1/2 sudu teh susu pekat manis. Lipat bahagian tepi kanan dan kiri ke bahagian tengah. Gulung adunanan. Leperkan adunan hingga berdiameter 20 cm. Panaskan kuali leper dengan sedikit minyak masak. Letakkan adunan. Masak sehingga keperangan.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Kongsi Resepi